Salam dan selamat datang ke Kotak Adnis 😊,
Tiada yang lain hanya perkongsian secebis kisah hidup dan pengalaman sendiri sebagai catatan dan mungkin sedikit pengajaran kepada yang membaca. Alhamdulillah sehingga hari ini Adnis telah diberikan peluang untuk bernafas oleh Yang Maha Esa selama 36 tahun 254 hari 😍 . Dan sehingga hari ini pelbagai dugaan hidup telah Adnis lalui dan sedang melalui.
Stress (tekanan) perkara biasa dalam hidup dan semua orang hadapi perkara yang sama. Tapi bagi Adnis, memendam perasaan selama 11 tahun akhirnya tak mampu ditanggung sendiri lagi dan akhirnya membawa kepada depression.
Alkisahnya...
Adnis kahwin seawal 24 tahun atas pilihan sendiri dan pada awalnya memang ada sedikit tentangan dari keluarga Adnis sendiri. Walau bagaimanapun, akhirnya keluarga setuju dan Adnis kahwin. Dari awal kahwin kami adalah pasangan PJJ (perkahwinan jarak jauh) maksudnya tak tinggal sebumbung atas faktor kerja. Adnis seorang yang berdikari, tanpa mengharapkan sesiapa Adnis teruskan hidup seperti biasa dengan kawan-kawan. Dalam erti kata lain dah kahwin tapi macam belum. Sesekali jumpa suami bila cuti sampai lah Adnis mengandung anak pertama..masih Adnis uruskan hidup sendiri. Adnis terima je atas beberapa faktor yang memang tak dapat dielakkan untuk membolehkan Adnis dan suami hidup sebumbung. Tekanan pertama yang Adnis hadapi dalam hidup bermula bila suami "kantoi" masih berhubungan dengan cinta pertama dia (AZR). Rasa macam dah tiada apa-apa lagi. Tetap hidup diteruskan demi anak dan janji suami yang tidak akan mengulang lagi hubungan bersama AZR. Adnis hidup sendiri 9 bulan bawa perut ke sana sini, ke klinik sendiri tanpa diteman sesiapa hingga saat melahirkan hanya dibantu keluarga dan ditemani oleh mak hingga dapat anak pertama. Suami datang setelah semua selesai. (Adnis lupa waktu tu kenapa suami tak dapat datang ke hospital untuk teman Adnis hahaha).
Bermula kehidupan sebagai seorang ibu, juga sendiri menguruskan keperluan anak, menjaga anak, mencari pengasuh semuanya Adnis sendiri. Tak lama selepas tu, Alhamdulillah suami sudah dapat tinggal bersama. Gembira tu hanya sekejap kerana walaupun hidup sebumbung, Adnis tetap seperti hidup seorang bersama anak 😂. Segalanya Adnis buat sendiri tanpa dibantu. Hadap je masa tu...terpaksa ditelan. Dan yang lebih menyedihkan suami "kantoi" lagi untuk sekian kali berhubungan dengan AZR dan selalu berjumpa selepas waktu kerja. Perasaan Adnis masa tu...useless, helpless..Adnis menangis lagi. Peluang masih diberikan walau merasakan diri tidak dihargai dan tidak disayangi tapi demi untuk teruskan hidup sebagai sebuah keluarga dan perasaan sayang masih tebal.
Mengandung kali kedua dengan harapan akan dapat sedikit perhatian hahaha tapi keadaan tetap sama tiada apa yang berubah. Suami dengan cara hidup dia sendiri dan Adnis dengan hidup sendiri sambil mengurus anak dan bekerja. Sekali lagi Adnis ke sana sini sendiri, ke klinik juga sendiri menguruskan anak juga sendiri hingga saat melahirkan juga dibantu oleh keluarga dan ditemani oleh mak dalam bilik bersalin. Seperti kali pertama, suami muncul setelah semua urusan selesai. Adnis hanya mampu menahan malu dengan keluarga dan cuba untuk pertahankan suami dengan alasan masalah di tempat kerja. Dan sememangnya alasan suami masa tu adalah tak dapat cuti sebelum isteri bersalin, cuti hanya diberikan selepas anak dilahirkan. hahahaha..sayang sekali dia dengan cuti tahunan dia ditolak demi untuk isteri dan anak. Di situ, Adnis mula merasakan yang Adnis dan anak-anak tidak dianggap penting oleh suami. Pada masa yang sama juga, perasaan curiga dalam diri Adnis tercetus apabila handphone suami tidak boleh disentuh oleh Adnis dan anak-anak. Telefon sentiasa dengan suami walau masuk ke bilik air dan telefon sentiasa dengan password.
Tanggungjawab sebagai isteri tetap Adnis jalankan seperti biasa terasa tiada kurangnya di mata Adnis sendiri tetapi mungkin kurang di mata suami oleh sebab itu, Adnis tak dapat layanan seperti sepatutnya seorang isteri dilayan oleh suami. Adnis bukan jenis yang suka meminta-minta, sepanjang bergelar isteri, tidak pernah sekali Adnis minta apa-apa dari suami sebab Adnis sedar yang dia tidak mampu pada waktu tu. Adnis bukan peminat emas intan permata dan sehingga sekarang Adnis tak punya semua tu.
Saat mengandung ke-3 masih menaruh harapan untuk suami berubah sekurangnya sedikit bantuan dalam hidup seharian. Harapan tinggal harapan je...kitaran hidup Adnis tetap sama. Ulang alik klinik sendiri. Urusan anak-anak sendiri. Bukan Adnis minta berkepit dengan suami sepanjang masa cuma sekurangnya hantar Adnis ke klinik dah cukup. Tak minta untuk teman berjalan masuk ke klinik/hospital pun. Alhamdulillah sepanjang proses mengandung dan bersalin Adnis tidak pernah ada masalah serius dan Adnis sememangnya kuat untuk diri sendiri dan anak-anak. Bersalin juga ditemani oleh ibunda tercinta.
Mengandung anak ke-4 juga masih sama cuma yang membezakan hanya untuk ke hospital pada hari bersalin anak ke-4 Adnis dihantar oleh suami hingga selesai proses kemasukan ke wad. Waktu bersalin juga ditemani oleh ibundaku. Sejak dari melahirkan anak ke-3 Adnis memang tidak mengharapkan apa-apa lagi dari suami. Adnis dah buang semua harapan untuk suami berubah dan dapat terima dan sayangi Adnis dan anak-anak. Hidup bersama suami Adnis terasa bagai "kayu". Kelahiran anak ke-4 membawa perubahan iaitu suami bertukar kerja dan bertugas di luar kawasan dan lebih tepat lagi luar dari Malaysia tanah airku 😁.
Untuk kali ke berapa Adnis pun tak tahu...Adnis ditinggalkan sendiri untuk memikirkan cara bagi meneruskan hidup bersama 4 orang anak. 😂😂😂😂😂😂. Alhamdulillah..benarlah Allah itu sebaik-baik pelindung. Dengan bantuan keluarga Adnis, didatangkan seorang insan yang sanggup bekerja dan tinggal bersama Adnis untuk menjadi pengasuh dan menjaga anak-anak Adnis.
Bermula lah episod baru dalam hidup Adnis bersama 4 orang anak dan status Adnis sebagai isteri berkerjaya tapi tidak punya suami hahaha. Suami mengirim duit setiap bulan (Alhamdulillah) dan pulang bercuti (1 minggu) setiap 3 bulan. Jangan disangka hidup ini hanya akan bahagia dengan duit. Semakin hari Adnis semakin tertekan dengan hidup menguruskan sendirian anak-anak walau dibantu oleh pengasuh tetapi segala beban dan masalah Adnis pikul sendiri. Adnis perlu berfikir sendiri tanpa ada tempat untuk Adnis meluahkan. Berdepan dengan keluarga, Adnis pura-pura ok. Semuanya ok. Adnis tak mahu semua orang tahu apa yang Adnis hadapi setiap hari. Berdepan dengan kawan-kawan, juga Adnis ok dan tidak pernah sekali Adnis menunjukkan sisi Adnis yang semakin tertekan. Suami di kejauhan hanya sesekali berhubung untuk bertanyakan khabar anak-anak tetapi bukan isterinya. Tidak pernah sekali bertanya khabar Adnis. Kesiannn Adnis kan..Semakin Adnis rasa tersisih dan tidak disayangi. Bila disuarakan, katanya Adnis berfikir bukan-bukan. Diajak berbincang..dia lari tak mahu dengar. Sesekali pulang bercuti, mengurung diri dalam bilik bersama telefon. Masa lebih banyak dihabiskan dengan telefon. Sesekali pulang bercuti, tidak pernah bawa keluarga ke mana-mana. (dah macam ayat Indonesia pulak hahaha). Bila keadaan macam ni berlanjutan, Adnis makin hilang rasa sayang yang tinggal hanya rasa terbuang, rasa tak diperlukan.
Pada awalnya Adnis selalu menangis sendiri tapi kemudian Adnis bangkit sebab Adnis sedar perlu lakukan sesuatu untuk diri Adnis dan anak-anak. Bermulalah kehidupan "outdoor" Adnis.
Next entry: dunia outdoor Adnis, stress and depression, Adnis dan hiking